‘Saya tidak ambil tindakan terburu-buru’

0
447
MUHYIDDIN YASSIN

CYBERJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin berkata, lima ahli parti itu tidak dipecat daripada parti sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian terhenti dengan serta merta.

Muhyiddin berkata, beliau  sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

“Saya berharap ahli-ahli Bersatu dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya lima orang ahli parti iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr. Maszlee Malik.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti. Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam hantaran yang dimuatnaik dalam akaun Facebook milik beliau sebentar tadi.

Beliau juga yakin dan percaya Bersatu akan terus teguh kerana telah menghadapi banyak cabaran dari awal parti itu ditubuhkannya.

“Kita telah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu tetapi demi agama, bangsa dan negara.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan dibuat oleh Tun Dr. Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” jelasnya.

Muhyiddin yang memangku jawatan Pengerusi Bersatu berkata, Dr. Mahathir bersama pengikutnya yang lain untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya.

“Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayah-Nya,” ujarnya.

Beliau juga menyeru ahli Bersatu merapatkan saf bersamanya untuk terus perkukuhkan kerajaan yang telah ditubuhkan demi masa depan Malaysia lebih aman dan sejahtera. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here