Sekarang masanya zahirkan sokongan beli produk usahawan Muslim

0
226

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Raudhah Grocer menyasarkan mempunyai 1,000 produk untuk ditawarkan secara dalam talian dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook itu hari ini, pasar raya tersebut bakal memperluaskan kawasan penghantaran barangan di sekitar Lembah Klang.

“Buat masa ini kawasan penghantaran hanya untuk pendudu di sekitar Cyberjaya, Putrajaya, Puchong, Bandar Baru Bangi, Seri Kembangan, Dengkil, Kajang, Sepang, Putra Height dan Bandar Saujana Putra.

“Mulai hari ini, marilah kita bersama-sama memperkasakan produk Muslim dengan membeli secara online atau offline di Raudhah Grocer. Semoga ini akan menjadi faktor kepada kebangkitan ekonomi Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Raudhah Grocer berkata, terdapat lebih 80 peratus barangan ditawarkan kepada orang ramai adalah keluaran Muslim.

“Kempen kesedaran mengapa perlu menyokong produk keluaran Muslim telah pun berjalan dengan jayanya tahun lepas dan sekarang ialah masanya pengguna Islam menzahirkan sokongan dengan membeli segala barangan keperluan rumah dari Raudhah Grocer.

“Sekarang alternatif kepada produk-produk antarabangsa dah ada, usahawan-usahawan kita telah pun berusaha menghasilkan produk tempatanuntuk menggantikan produk antarabangsa. Jadi apa lagi alasan kita untuk menyokong?

“Bila niat kita membeli untuk menyokong dan memperkasakan produk Muslim Insya-Allah kita akan dapat lebih sekadar barangan keperluan,” katanya.

Menurutnya, sokongan orang ramai amat diperlukan bagi memastikan misi memperkasakan ekonomi Muslim dapat direalisasikan.

“Bukan senang untuk usahawan-usahawan kita nak bangunkan sesuatu produk. Mereka menghadapi pelbagai cabaran bermula dari modal permulaan, proses R&D, proses penghasilan produk, cabaran pekerja, kapasiti pengeluaran, cabaran bahan mentah, kos bahan mentah yang tinggi, cabaran pengedaran, cabaran pemasaran, kos pemasaran dan macam-macam lagi.

“Tapi walaupun dengan segala cabaran yang mereka hadapi perjuangan untuk menghasilkan produk 100 peratus dihasilkan oleh Muslim tetap diteruskan atas rasa tanggungjawab mereka kepada ummah.

“Jihad bukan dari peperangan saja, tapi di alaf baharu ini ialah dari segi penguasaan ekonomi. Jika kita sendiri pengguna Islam tidak mahu bersatu dan memperkasakan ekonomi orang Islam siapa lagi yang kita nak harapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here