Sektor ekonomi dibuka semula dengan SOP ditetapkan

0
143
Gambar hiasan

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi pada 4 Mei ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menurut beliau, kerajaan telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid- 19.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan data-data dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

“Saya katakan hampir semua beroperasi kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi,” katanya pada perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.

Beliau berkata, ia adalah perniagaan atau aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya termasuklah panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan serta pameran,

“Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan tertutup dan stadium,” katanya.

Jelasnya lagi, aktiviti sukan tertutup yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here