Sektor perniagaan mula beroperasi selepas Aidilfitri

0
205

KAJANG – Selepas empat hari menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir semua sektor perniagaan kembali beroperasi hari ini.

Sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi dilihat mula membuka semula perniagaan masing-masing sekali gus membangunkan semula sektor ekonomi yang terjejas teruk sebelum ini.

Bulan lalu, kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula mulai 4 Mei selepas ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hasil tinjauan Malakat Tribune di sekitar Semenyih, Bandar Baru Bangi, Kajang dan Cheras juga mendapati sektor yang tidak dibenarkan masih belum memulakan operasi.

Tinjauan juga mendapati, sektor perniagaan termasuk kedai makan yang sudah mula beroperasi turut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh kerajaaan.

Kini boleh dilihat kedai-kedai mamak juga mula dipenuhi orang ramai, sebelum ini kedai makan hanya beroperasi hanya untuk bungkus sahaja dan pelangan tidak dibenarkan makan di premis.

Bukan itu sahaja, penjaja-penjaja makanan juga dilihat sudah mula beroperasi dan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli walaupun terpaksa beratur panjang.

Menurut Aiman Alif Ashari, 36, dia melihat lebih banyak sektor perniagaan mula dibuka hari ini berbanding tempoh yang dibenarkan sebelum ini ekoran pelaksaan PKP akibat Covid-19.

“Sebelum ini, kerajaan benarkan sektor perniagaan beroperasi pada 4 Mei namun, ramai yang masih tidak beroperasi. Sekarang kita boleh tengok hampir 95 peratus sudah buka.

“Apabila sektor perniagaan mula dibuka, ia memudahkan orang ramai juga. Mahu beli barang-barang pun senang, namun perlu diingat kena ikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, penjaja, Tuan Ismadi Tuan Lah, 42, berkata, dia memulakan perniagaan nasi kukusnya semalam dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pelanggan.

“Sebelum ini saya tidak berniaga, Ramadan lalu pun hanya jual secara dalam talian. Sekarang Alhamdulillah sudah boleh keluar berniaga, SOP saya ikut dan ‘hand sanitizer’ pun ada.

“Pelanggan beratur panjang juga, maaf kerana payung tidak cukup untuk teduhkan semua pelanggan. Saya berharap keadaan kembali pulih selepas ini,” katanya yang berasal dari Semenyih.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here