Setiap hari tunggu panggilan Zero Hunger

0
217

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

KUALA LUMPUR – Seorang penduduk Kampung Baru di sini hari ini meluahkan rasa bersyukur apabila mendapat panggilan telefon dari Malakat Mall untuk agihan bantuan makanan melalui Projek Zero Hunger bersama Brainy Response Team (BERT).

Perkara itu diluahkan oleh seorang penerima, Zurinawati Ab. Jais, 29, apabila berkongsi pengalamannya terputus bekalan makanan kerana tidak dapat berniaga sejak Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) dikuatkuasakan.

Zurinawati Ab. Jais

Menurutnya, dia yang bakal menimang cahaya mata kedua itu sebenarnya berniaga jagung di Pusat Borong GM, Kuala Lumpur bersama suaminya.

“Tempoh PKP ini saya anggap bagaikan hilang pekerjaan suami isteri kerana pusat borong berkenaan terpaksa ditutup.

“Bila dapat panggilan telefon beritahu dari Malakat Mall saya sebak sangat kerana sekurang-kurangnya ada bekalan barang dapur untuk menampung makanan harian kami sekeluarga.

“Saya ambil keputusan datang sendiri ke tempat agihan untuk mengambil stok makanan itu,” katanya ketika ditemui MBNews di Kampung Baru hari ini.

Zurinawati berkata, pendapatan sebelum ini sekitar RM900 dapat menampung bekalan makanan, namun sejak PKP dikuatkuasakan dia hanya menggunakan simpanannya yang ada.

Jelasnya, suami yang membawa motosikal roda tiga juga tidak dapat berniaga dan terpaksa mencari jalan untuk meneruskan hidup.

Sukarelawan Zero Hunger menghubungi penerima bagi mendapatkan lokasi kediaman mereka.

Bagi seorang lagi penerima,  Zulkarnain Bidin, 50, dia yang mengusahakan sebuah kedai gunting rambut turut terkena tempias berikutan pelaksanaan PKP.

Katanya, dia tidak menyangka  PKP akan berlarutan untuk tempoh yang agak lama.

“Bila dapat tahu ada agihan bantuan melalui Facebook Malakat Mall, saya cuba isi dan tidak sangka rezeki saya dapat.

“Memang saya tunggu dan tak sangka hari ini sukarelawan Zero Hunger hubungi saya untuk minta saya datang mengambil bekalan ini,” katanya yang berterima kasih kepada penderma menghulurkan sumbangan.

Nurmaizatul Ain Ali

Bagi seorang lagi peniaga, Nurmaizatul Ain Ali, 22, walaupun mengambil pesanan makanan membuat laksa dari rumah tetapi pendapatan hariannya sukar mencecah RM50 sehari.

Katanya, sebelum ini dia berniaga di tepi jalan sebelum PKP dan memperoleh pendapatan kira-kira RM100 sehari.

“Sejak PKP ini memang terasa sangat dan bantuan seperti ini memang sangat diperlukan.

“Nak keluar dapatkan makanan di kawasan ini pun agak sukar kerana banyak sekatan jalan raya dibuat,” katanya yang juga sedang menunggu cahaya mata tidak lama lagi.

Seramai 99 keluarga menerima keperluan terdiri dari golongan memerlukan termasuk ibu tunggal, golongan orang kurang upaya (OKU), asnaf, keluarga B40 dan orang asal.

Program di bawah Yayasan Brainy Bunch itu sebelum ini telah mengagihkan bantuan ke beberapa daerah di Pahang, Kelantan dan Melaka melalui permohonan di www.sadaqahmarket.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here