Siapa di belakang lelaki cabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah 1995?

0
1439

CYBERJAYA – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mempersoalkan niat sebenar seorang lelaki yang mencabar keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, cabaran berkenaan telah difailkan oleh lelaki tersebut setelah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan melakukan seks luar tabii.

Beliau berkata, lelaki itu yang merupakan salah seorang dari sebelas yang didakwa di Mahkamah Syariah juga dilaporkan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi permohonan tersebut ditangguhkan.

“Penangguhan itu bagi memberi laluan kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan ini. Begitu juga perbicaraan di mahkamah syariah telah ditangguhkan.

“Antara asas cabaran tersebut ialah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 telah melampaui bidang kuasanya kerana terdapat peruntukan kesalahan yang sama di dalam kanun keseksaan khususnya Seksyen 377 secara berasingan ataupun keseluruhannya.

“Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan.

“Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainul Rijal, Sekysen 377A hingga 377C adalah seperti berikut, Seksyen 377A Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

“Mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

“Seksyen 377B pula seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

“Seksyen 377C ialah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan, barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii ke atas seorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat,” katanya.

Sementara itu katanya, cabaran yang dibuat oleh lelaki tersebut hanya terhadap keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman jauh lebih rendah daripada yang diperuntukkan oleh Kanun Kesiksaan.

“Jika beliau berjaya Sekysen 28 tersebut tidak lagi boleh digunakan bagi mendakwa mereka di mahkamah syariah terhadap orang yang melakukan liwat. Seksyen 28 membawa hukuman maksimum didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala Sekayen 377A boleh diseksa dengan hukuman yang dinyatakan di dalam Seksyen 377B iaitu dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat atau hukuman dalam Seksyen 377C iaitu diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

“PPMM juga ingin menjelaskan sebatan di mahkamah syariah adalah sangat ringan berbanding dengan sebatan yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil yang mendatangkan kesengsaraan melukakan dan mendatangkan kecederaan.

“Oleh itu, timbul persoalan apakah niat sebenar lelaki tersebut ataupun sesiapa juga di belakang beliau mencabar Enakmen Syariah dan bukan kanun keseksaan. Apakah keuntungan yang akan diperolehi beliau apabila mencabar undang-undang yang membawa hukuman lebih ringan berbanding yang lebih berat.

Malah Zainul Rijal berkata, golongan LGBTIQ juga dilaporkan mengalu-alukan penghakiman tersebut kerana berpandangan akan memberi kesan luas terhadap hak serta layanan saksama bagi individu LGBTIQ tanpa merujuk hukuman yang ada di dalam Seksyen 377A hingga C itu lebih berat daripada hukuman di dalam Enakmen Syariah.

“Adakah hukuman berat di dalam kanun keseksaan tersebut menggambarkan layanan saksama bagi individu LGBTIQ?”soalnya.

Oleh yang demikian katanya, sekali lagi persoalan sebenarnya ialah kenapakah cabaran tidak dibuat terhadap peruntukan yang membawa hukuman lebih berat di dalam kanun keseksaan berbanding Enakmen Jenayah Syariah.

“Adakah lelaki tersebut mahu dihukum dengan hukuman lebih berat? PPMM merasakan asakan yang tidak putus-putus terhadap institusi Islam seperti ini sejak kebelakangan membawa agenda yang tersembunyi dan mempunyai objektif yang tertentu.

“PPMM menyeru kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor khususnya supaya memohon mencelah dalam prosiding ini apabila merit kes didengar kelak.

“Begitu juga Majlis Agama Islam negeri-negeri lain mengambil peranan aktif memohon kebenaran mencelah atau menjadi amicus curae (pemerhati) untuk sama-sama membantu mahkamah memberi keputusan yang tepat di dalam kes ini kerana negeri-negeri lain juga mempunyai peruntukan yang lebih kurang sama dengan peruntukan di dalam Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tersebut,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here