Singapura buka sempadan secara selektif

0
90
Gambar kecil Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

SINGAPURA – Republik Singapura berkemungkinan akan bermula secara kecil dan selektif bagi pembukaan semula mana-mana sempadannya.

Memetik laporan Bernama, Menteri Kesihatan Singapura , Gan Kim Yong berkata, syarat-syarat pengasingan dan ujian akan diteruskan bagi melindungi republik itu daripada kes import baharu yang membawa kepada penyebaran dalam komuniti.

Katanya, pelbagai faktor atau indikator akan diteliti dalam mempertimbang pembukaan sempadan yang merupakan sebahagian langkah pemutus rantaian Covid-19 lebih ketat.

“Kami perlu membuat penilaian situasi secara global dan bagi setiap negara, untuk memaklumkan sejauh mana dan pendekatan dalam pembukaan semula sempadan kami.

“Kami akan mengkaji kadar jangkitan di negara lain dan langkah yang mereka ambil bagi membendung penularan wabak itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kenyataan Kementerian di Parlimen mengenai kemas kini kedua respons kerajaan secara keseluruhan kepada Covid-19 di sini hari ini.

Kim Yong berkata, Singapura melaporkan kes import pertamanya pada 23 Januari dan daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatat setakat Ahad lalu iaitu sebanyak 18,205, Singapura mengenal pasti 579 atau hanya 3.18 peratus sebagai kes import.

Kim Yong berkata, angka itu adalah penting namun ia bukan satu-satunya yang dipertimbang sebelum menamatkan langkah pemutus rantaian.

“Kami perlu yakin bahawa jangkitan komuniti secara tempatan telah dapat dibendung atau amat rendah. Kes komuniti hendaklah secara ideal jatuh ke tahap sifar atau satu digit setiap hari, dengan jumlah kes tidak berkaitan yang amat sedikit, dan bukan hanya bagi tempoh sehari sebaliknya berlanjutan bagi jangka masa tertentu.

“Meskipun kami dapat memastikan kes komuniti tempatan berada pada tahap rendah biarpun berdepan jumlah kes yang tinggi dalam kalangan pekerja migran, adalah penting bagi mengurangkan kes pekerja migran dari semasa ke semasa walaupun ia akan memakan masa yang lebih lama,” katanya.

Menurutnya, Singapura akan terus berdepan risiko limpahan jangkitan dari asrama pekerja asing ke dalam kalangan penduduk secara lebih meluas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here