Solat berjemaah boleh dilaksanakan tidak lama lagi – Perdana Menteri

0
183

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu garis panduan sedang diperhalusi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan solat secara berjemaan di masjid.

Perdana Menteri berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu untuk diperkenankan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, selepas itu kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. Insya-Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik.

“Tambahan pula telah banyak kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta supaya orang ramai memberikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai ibadat agama lain, katanya, kerajaan juga akan mengumumkan SOP bersesuaian selepas ini.

“Begitu juga dengan gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain.

“Kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here