Solat berjemaah boleh ditunaikan dalam masa terdekat ini

0
234
Solat Jumaat yang pertama diadakan di Thailand sejak mereka melaksanakan perintah berkurung

CYBERJAYA – Solat secara berjemaah dan solat Jumaat berkemungkinan besar boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan majlis raja-raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri berkata, pada masa ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memperhalusi tatacara atau prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Zulkifli berkata, selepas mendapat perkenan kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat berjemaah di masjid.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu.

“Insya-Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik, tambahan pula telah banyak kawasan zon hijau di seluruh negara” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali kelima bersidang bagi membincangkan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh PKPB.

Garis panduan berkenaan disediakan melalui penelitian mufti seluruh negara untuk dipersembahkan dan diputuskan Yang di-Pertuan Agong dan majlis raja-raja Melayu selaku pihak bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, melalui pelaksanaan SOP yang teratur itu pihaknya yakin pihak masjid telah pun bersedia untuk dibuka kepada jemaah.

Beliau berkata, sedikit masa diperlukan pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP berkenaan.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat solat berjemaah di masjid dengan lebih sempurna dan syiar Islam juga akan bersinar semula,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here