Speaker Dewan Rakyat terima usul tidak percaya Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri

0
228
Tan Sri Mohamad Ariff Mohd. Yusof

CYBERJAYA – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd. Yusof hari ini menerima usul daripada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamad Ariff berkata, pada 4 Mei lalu beliau telah menerima dua usul daripada Ahli Parlimen Langkawi itu yang mana salah satu usul berkenaan di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) itu mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat empat supaya jawatan Speaker Dewan Rakyat dikekalkan sehingga Dewan Rakyat dibubarkan.

Bagaimanapun, usul tersebut ditolak.

“Setelah diteliti berdasarkan penjelasan dikemukakan saya memutuskan bahawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat empat ditolak kerana tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

“Manakala usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” ujarnya.

Semalam, Mohamad Ariff menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal untuk memulakan usul undi percaya terhadap Dr. Mahathir.

Selain surat itu, turut tular semalam surat Dr. Mahathir kepada Mohamad Ariff pada 4 Mei lalu yang mendakwa Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here