
CYBERJAYA – Tolak ke tepi segala ‘topi’ dan ‘warna’ parti masing-masing dan bersatu padu membangunkan negara yang sedang dilanda pelbagai krisis akibat wabak pandemik Covid-19.
Itu gesaan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Amiruddin Yahaya tentang perkembangan politik yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Beliau juga menyeru rakyat menyuarakan kekesalan akan ketidakstabilan politik yang berlaku ketika ini.
“Sabar sedikit sahaja lagi sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Selepas itu, bersainglah secara sihat bagi merebut kuasa pemerintahan,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran akaun Facebook miliknya hari ini.
Aminuddin menambah, ketika wabak Covid-19 masih belum nampak reda selain ekonomi semakin merudum dan pengangguran bertambah, ada pula ahli-ahli politik berebut kuasa.
Beliau berkata, ia pasti mengecewakan rakyat yang sedang bersusah-payah untuk menghadapi segala natijah dari wabak Covid-19. “Pada masa sama, ahli-ahli politik ini sedang bersenang-lenang menjalani kehidupan yang selesa, penuh kemewahan dan menikmati gaji serta elaun puluhan ribu ringgit yang langsung tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata, rakyat sudah mengetahui perkara yang sebenarnya berlaku menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sepertimana diceritakan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dalam titah baginda di Parlimen.
“Walau bagaimanapun, dengki, ego dan dendam kesumat terus mendasari jiwa serta perasaan mereka yang rakus ini sehingga hilang segala pertimbangan dan rasa sabar.
“Mereka sendiri sedar semua ini adalah kesilapan mereka yang akhirnya membuatkan mereka tersungkur tetapi kegilaan mereka terhadap pangkat dan jawatan sudah mengkaburi segalanya,” ujarnya.
Kata beliau, mungkin inilah yang dikatakan sebagai bala daripada ketaksuban pada falsafah dan sistem demokrasi Barat yang hanya mementingkan ‘nombor-nombor’ daripada segalanya.
“Apabila berjaya dipilih rakyat, maka wang pula menjadi keutamaan mereka. Bak kata orang, ‘ada wang, semuanya boleh jalan’.
“Tidak mustahil juga memang berlaku ‘jual beli’ ahli-ahli Parlimen kerana memang dikhabarkan sebegitu dan itulah kemungkinan paling besar yang berlaku pun,” katanya.
Katanya, jika muka-muka yang sama ini terus menjadi pemain utama politik Malaysia, jangankan parti boleh musnah, tetapi agama dan bangsa pun akan dipijak-pijak sahaja.
“Apa mereka kisah hanyalah kuasa dan kekayaan masing-masing. Nasib rakyat hanya akan dijadikan ratib-ratib apabila mahu menagih undi sahaja,” ujarnya. – MT