Sultan Nazrin hargai petugas kesihatan

0
113
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menahan sebak ketika menzahirkan penghargaan terhadap kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) terutama di bahagian klinikal susulan risiko dihadapi dalam menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19.

Baginda yang berdiri menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang bersidang di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh turut berdiri seketika sambil memberi tepukan tangan kepada kakitangan KKM selain agensi lain yang berperanan sebagai petugas barisan hadapan.

“Dengan penentuan Ilahi, di samping berusaha menyembuhkan pesakit, mereka (petugas KKM) berjaya meminimumkan bilangan kematian dan jangkitan meskipun prasarana dan peralatan perubatan sektor awam di negara ini adalah sangat terbatas.

“Terbukti KKM mempunyai barisan petugas berpengetahuan, berpengalaman dan paling utama amat berdedikasi serta komited dalam menyempurnakan amanah dengan melaksanakan tanggungjawab.

“Ia sekali gus membuktikan mereka adalah aset amat berharga kepada negara serta bangsa,” titah Sultan Nazrin yang dilaporkan Harian Metro ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, hari ini.

Baginda turut berterima kasih kepada semua pihak lain yang terbabit dalam usaha menangani wabak Covid-19.

Ia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah, serta penjawat awam lain yang turut berperanan sebagai petugas barisan hadapan.

Malah, ucapan penghargaan turut dizahirkan baginda terhadap pengamal media yang bergandingan dengan agensi kerajaan dalam usaha menangani pandemik wabak itu di negara ini. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here