RAUDHAH CITY – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut oleh umat Islam esok tahun ini berlainan dari tahun sebelumnya berikutan negara diancam pandemik Covid-19 menyebabkan persediaan menyambutnya dilakukan secara sederhana.
Namun ada segelintir pihak beranggapan bahawa perayaan itu tidak memerlukan pakaian baharu yang sudah menjadi kelaziman masyarakat Islam setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri.
Pejuang ekonomi Islam, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sambutan Aidilfitri adalah berbeza daripada agama lain kerana ia merupakan sunah Rasulullah bagi mereka yang mengenakan pakaian baharu pada waktu Aidilfitri.
“Kita kena faham kita menyambut Aidilfitri bukan suka-suka. Kita melaksanakan syariat yang ada panduannya.
“Panduannya pada Hari Raya Aidilfitri pertama dikenakan pakaian baharu. Sunahnya kena pakai baju baharu dan mereka akan membantu ekonomi,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah beliau, beza Aidilfitri dengan perayaan agama lain kerana ia bukan direka tetapi ada perkara-perkara sunnah di dalamnya.
“Walaupun kita mungkin sambut (Hari Raya Aidilfitri) dalam keadaan sederhana tetapi ia tidak menghalang kita melaksanakan tuntutan syariat.
“Ataupun mengikuti sunah Rasulullah sebab kita mahu latih diri kita mengikut ajaran Rasulullah dan buat apa yang Rasulullah buat,” jelasnya.
Beliau juga pengasas Malakat Mall berkata, di pusat beli belah itu terdapat pelbagai jualan persediaan raya ditawarkan kepada pengunjung seperti baju raya, kasut dan lain-lain.
“Bagi yang mencari perkakasan pula, kedai DIY Malaya yang terletak ditingkat dua mempunyai segala perkakasan. Ada beberapa produk yang eksklusif dibawakan khas kepada pelanggan,” katanya. – MT