Tabung susu untuk keluarga kurang kemampuan

0
217
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (kiri) serah sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim (kanan) bagi menjalankan projek Zero Hunger.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

RAUDHAH CITY – Program Zero Hunger yang dijalankan oleh Yayasan Brainy Bunch melalui kerjasama antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malakat Mall mengambil inisiatif mewujudkan tabung susu untuk kanak-kanak daripada keluarga kurang mampu dan terputus pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, bantuan susu tersebut penting buat perkembangan dan pembesaran kanak-kanak yang berusia kurang tiga tahun.

“Anak-anak kecil bawah tiga tahun, makanan utama mereka adalah susu. Ini pun kumpulan sasar yang kita harap dapat bantu dari sumbangan orang ramai.

“Sempena bulan Ramadan ini, kita sama-sama gerakkan hati dan tindakan yang penting… bukan sekadar kita jaga kita tetapi bermula dengan tanda pagar dan diakhiri dengan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas majlis penyerahan dana PPIM dan Gardenia Bakeries Sdn. Bhd untuk program Zero Hunger, di sini.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menyerahkan RM220,000 daripada Tabung Perjuangan NGO itu untuk Zero Hunger fasa ketiga.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil berkata, pasukan Malakat Mall dan Zero Hunger bersama Yayasan Brainy Bunch telah mendapat kelulusan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menyerahkan bantuan kepada kumpulan sasar.

Katanya, ada pihak yang mempertikaikan dengan pergerakan pasukan itu memberikan sumbangan kepada keluarga B40.

Katanya, bantuan yang diberikan oleh pihaknya ke seluruh Semenanjung Malaysia dan membekalkan lebih kurang 9,000 buah keluarga setakat ini.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan APM dan mempunyai kira-kira 200 pemilik kenderaan pacuan empat roda di seluruh negara yang berupaya mengedarkan dana untuk diserahkan.

“Kita cuma beri dalam bentuk barang dan sekiranya mereka (keluarga B40) sudah terputus bekalan terus menghubungi kami, kita akan hantar terus. Jika terlalu jauh, pasukan kami akan hantar duit kepada sukarelawan untuk beli bahan makanan untuk diserahkan kepada penerima.

“Kita mohon sangat orang ramai untuk terus menyalurkan sumbangan jika boleh dapat satu juta derma itu sudah banyak untuk kita sumbangkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here