Tempoh masa lama menunggu di stesen tren

0
139

KUALA LUMPUR – Penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren Rapid KL dijangka mengalami masa menunggu dan perjalanan yang lebih lama berbanding biasa bermula esok.

Rapid KL dalam satu kenyataan dalam laman Facebook rasminya berkata, pergerakan orang ramai yang dibenarkan masuk ke stesen dan platform akan dikawal sebagai langkah penjarakan sosial.

“Hanya sebilangan penumpang akan dibenarkan masuk dan bergerak ke platform pada satu-satu masa. Penumpang dijangka mengalami masa menunggu dan perjalanan sedikit lebih lama daripada biasa,” katanya.

Selain itu, beberapa langkah lain turut dilaksanakan untuk memastikan pematuhan penjarakan sosial dapat dipatuhi dengan baik oleh orang ramai.

Antaranya adalah penempatan pegawai stesen yang akan mengawal pergerakan penumpang sebelum dan selepas dari pintu automatik.

Pemeriksaan suhu badan sebelum penumpang dibenarkan masuk ke dalam stesen juga akan dilakukan dan mereka yang mempunyai suhu badan yang tinggi perlu mengelak daripada menggunakan pengangkutan berkenaan.

Sehubungan itu orang ramai diminta memberi kerjasama demi memastikan usaha pencegahan dan penyebaran wabak Covid-19 dapat dilakukan dengan lancar. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here