Tempoh permohonan BPN dilanjutkan hingga 31 Mei

0
1909

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan tersebut diberikan selepas pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan orang ramai yang gagal menerima bayaran BPN atas pelbagai sebab.

“Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap. Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak. Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak,” katanya dalam Perutusan Perdana Menteri hari ini.

Berikutan itu, katanya, selain menghantar emel, pemohon yang mana permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan bermula esok.

“Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa ini.

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insya-Allah boleh diluluskan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya sehingga semalam kerajaan telah meluluskan sebanyak 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

Beliau berkata, dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 bilion. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here