Terima kasih Amnesty, Suhakam atas cadangan, tetapi anda bukan kerajaan

0
1040
Sebahagian PATI yang ditahan di Jalan Masjid India minggu lalu

SELEPAS beberapa hari orang ramai risau apabila melihat kes Covid-19 meningkat kepada tiga digit, hari ini ramai yang mula boleh menarik sedikit nafas lega apabila jangkitan wabak tersebut menurun kepada dua angka.

Seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan petang tadi, terdapat 30 kes positif yang dilaporkan di seluruh negara.

Jika sekali pandang mungkin tiada apa yang perlu dirisaukan tetapi daripada jumlah ini, 24 kes melibatkan rakyat asing yang bekerja di Malaysia dan baki enam kes pula melibatkan rakyat tempatan.

Tetapi yang mencetuskan kebimbangan ialah kes jangkitan rakyat tempatan ini mempunyai kaitan dengan kes di Pasar Borong Kuala Lumpur yang turut bermula daripada pekerja asing.

Disebabkan jumlah yang ramai warga asing dijangkiti virus ini terutamanya melibatkan kluster pasar borong, kerajaan telah bertindak proaktif dengan meminta semua majikan membuat saringan kesihatan terhadap pekerja asing mereka.

Namun begitu, arahan tersebut mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk persatuan majikan. Tidak sukar menelah bantahan ini kerana setiap perkara melibatkan kos pasti akan ditentang.

Terdapat warga asing yang berselindung di sebalik lesen perniagaan rakyat tempatan untuk berniaga

Isu ini pastinya bukan hanya melibatkan kos tetapi juga berkaitan pekerja asing milik mereka. Adakah mereka ini pekerja yang masuk secara sah atau haram? Di peringkat awal semua akan mengaku mereka ini pekerja yang sah tetapi apabila diperiksa dokumen, macam-macam alasan diberikan.

Jika tidak percaya boleh lihat sendiri apabila Jabatan Imigresen menahan 586 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Masjid India minggu lalu. Bayangkan di kawasan itu sahaja terdapat lebih separuh daripada seribu PATI, itu belum lagi pergi jenguk ke kawasan pembinaan dan lain-lain.

Silap hari bulan, angka PATI yang ditahan melebihi puluhan ribu. Seperti penulis coretkan dalama ruangan ini pada minggu lepas, ‘terdapat hikmah’ di sebalik wabak Covid-19 yang melanda negara.

PATI yang sebelum ini sangat bermaharajalela dan sukar dibanteras secara tiba-tiba seperti ‘menyerahkan tengkuk’ untuk ditangkap. Amatlah rugi sekiranya kerajaan tidak bertindak pantas menangkap mereka.

Kenyataan tegas Menteri Kanan (Keselamatan) yang mempertahankan tindakan Jabatan Imigresen sebagai menjaga kedaulatan dan mempertahankan undang-undang negara memang tepat pada masanya.

Meskipun ada pihak terutamanya pertubuhan hak asasi manusia seperti Amnesty International dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang membantah penahanan ini dengan mencipta seribu satu alasan bagi menampakkan kesalahan di pihak kerajaan, puluhan juta rakyat Malaysia tetap berdiri teguh dengan langkah tegas diambil ini.

Rakyat Malaysia sudah cukup lelah dengan kebanjiran pekerja asing, tidak cukup mereka bekerja dalam sektor 3D (dirty, dangerous, difficult), kini peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan juga cuba diambil alih.

Klau tidak percaya, boleh lihat di mana-mana sehinggakan kedai jual ‘top-up’ prabayar pun sudah dikuasai mereka. Jadi timbul persoalan? Di manakah dirty, dangerous, atau difficult pekerjaan menjual kad prabayar?

Adakah rakyat tempatan memilih pekerjaan? Sangat mustahil. Sebelum Covid-19 menyerang negara lagi puluhan ribu pekerja kehilangan pekerjaan.

Data ini boleh dirujuk kepada Perkeso kerana mereka menyediakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk pekerja yang kehilangan pekerjaan. Penulis sendiri pernah memohon kerana kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata selepas syarikat surat khabar tertua milik orang Melayu gulung tikar.

Berbalik kepada kritikan Amnesty dan Suhakam, penulis tertanya-tanya kenapa mereka bila timbul isu sensasi seperti ini, barulah mereka muncul secara tiba-tiba seperti cuba menjadi jaguh. Sedangkan banyak lagi manusia yang tidak mendapat hak asasi yang sebenarnya.

Adalah lebih baik sekiranya lima prinsip dasar berteraskan Islam yang merangkumi hifzudin, hifzu nafs wal irdl, hifzu aql, hifzu nasl dan hifzu mal dilihat terlebih dahulu dalam konteks Malaysia.

Hifzu nafs wal irdl misalnya memberi jaminan hak atas setiap nyawa manusia untuk menjalani kehidupan selayaknya.

Dalam Islam, perkara ini menuntut adanya keadilan, hak atas penghidupan, hak pekerjaan, hak kemerdekaan, keselamatan dan bebas daripada penganiayaan. Jika rakyat Malaysia sendiri tidak mempunyai pekerjaan, merempat dan melopong melihat peluang pekerjaan di ambil PATI, kenapa NGO hak asasi manusia tempatan tidak memperjuangkannya.

Long Tiger yang merupakan rakyat asing yang dikaitkan dengan pelbagai kes termasuk jenayah

Adakah sebab isu ini tidak sensasi, sesensasi isu Malaysia menghalang kemasukan bot PATI warga Myanmar (Rohingya) baru-baru ini dan tindakan imigresen menahan 586 PATI di Jalan Masjid India?

Yang pasti NGO-NGO ini boleh kata apa sahaja, tetapi terima kasih banyak-banyak bagi pandangan kerana anda bukan kerajaan dan yang sakit mata melihat kiri kanan warga asing di depan mata.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here