Terus ‘lockdown’ kawasan jika ada kes baharu selepas PKP dilonggarkan

0
226

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengambil langkah tegas dengan melakukan perintah ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) jika berlaku jangkitan Covid-19 baharu di kawasan atau sektor perniagaan yang dibuka bermula minggu hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika keadaan tersebut berlaku semua penduduk di kawasan tersebut dan kontak rapat akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Apabila kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi, mereka kena patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kalau tidak patuh, kita akan ambil tindakan termasuk melakukan lockdown dan tutup terus kawasan tersebut, kemudian KKM akan lakukan saringan. Mereka yang positif akan dibawa ke hospital dan yang negatif perlu dikuarantin selama 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah langkah yang akan diambil sekiranya berlaku kes jangkitan baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya semua pihak terus mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan memakai topeng muka sebagai langkah berwaspada.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here