Teruskan banteras PATI, abaikan petualang negara

0
533
Warga asing yang ditahan imigresen dalam serbuan semalam di Pasar Borong KL

KIRA-KIRA dua tahun lalu masih segar dalam ingatan penulis ketika mengikuti satu operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kilang di Sepang.

Sebenarnya ini bukan operasi pertama yang penulis dan rakan-rakan media lain ikuti tetapi operasi ini penulis dapat melihat sendiri risiko yang bakal dihadapi pasukan penguat kuasa.

Dalam operasi yang dilakukan ketika waktu petang itu, ribuan warga asing yang sedang bekerja dan berehat di asrama di bahagian belakang kilang telah diserbu untuk diperiksa dokumen mereka.

Operasi secara mengejut itu menyebabkan ramai PATI terperangkap tidak sempat melarikan diri. Namun begitu, dalam suasana kelam kabut itu, ada juga PATI yang berjaya meloloskan diri dengan memanjat tembok.

Beberapa minit selepas itu, petugas media diberitahu bahawa terdapat seorang penguat kuasa imigresen wanita yang tercedera selepas terjatuh dari atas siling ketika cuba mengejar PATI. Mujur kecederaan yang dialaminya tidak serius dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk dirawat.

Nur Erra Ellina yang cedera di kaki dan pinggang menerima lawatan Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Datuk Seri Mustafar Ali . Foto Sinar Harian

Sebenarnya, kisah ini hanya secebis pengorbanan pasukan penguat kuasa dan keselamatan negara yang sentiasa terdedah dengan risiko ketika memburu PATI. Itu belum lagi cerita ketika mereka memburu PATI dari Afrika yang rata-ratanya mempunyai susuk badan sasa dan tinggi melebihi enam kaki.

Apabila Menteri Kanan (Keselamatan) dalam sidang akhbar petang tadi menyanggah segelintir pihak yang mendakwa imigresen dan pasukan penguat kuasa negara yang lain hanya membuat tangkapan terpilih dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sememangnya satu dakwaan yang dangkal dan tidak boleh diterima.

Boleh dikatakan setiap minggu dan jika terdapat aduan daripada masyarakat, anggota imigresen akan datang menyerbu. Cuma kadang-kadang PATI ini bernasib baik berjaya meloloskan diri. Entah kenapa berlaku begini. Pelbagai teori ada dibangkitkan termasuk wujud TONTO di belakang mereka dan ada juga pengkhianat negara yang terlibat menyorok mereka. Wallahualam.

Berbalik kepada tangkapan ketika PKP, penulis berasa pelik kenapa ada yang ‘berbunyi’? Sepatutnya mereka berbangga kerana dahulu mereka sering mengkritik pasukan keselamatan negara hanya membiarkan warga asing bermaharajalela di ibu kota tetapi kini pasukan sama yang berjuang membanteras PATI.

Petugas kesihatan melakukan saringan kesihatan

Lebih membimbangkan apabila anggota penguat kuasa dan keselamatan ini terdedah bukan hanya pada ‘musuh’ yang nampak tetapi juga ‘musuh’ tersembunyi. Dengan wabak Covid-19 masih menular dalam negara dan kini mula menjangkiti warga asing. Setiap atur gerak langkah mereka sangat berisiko dan berbahaya.

Bagi penulis, jika kita tidak mampu sama-sama turun padang membanteras PATI, adalah lebih baik kita diam sambil menikmati keropok Super Ring (selepas berbuka puasa) dan menyokong penuh tindakan mereka. Akhirnya yang dapat manfaat bukannya orang lain tapi kita juga.

Cuba lihat di Pasar Borong Kuala Lumpur, dengan penahanan PATI, peluang pekerjaan yang selama ini didominasi orang warga asing kini terbuka luas untuk anak tempatan. Tiada lagi alasan peluang kerja dirembat warga asing.

Yang penting sekarang semua pihak perlu menyokong penuh tindakan imigresen dalam mengusir PATI dari negara kita dengan berlandaskan undang-undang negara. Usah dilayan petualang negara yang cuba menangguk di air yang keruh dan hanya mahu menjatuhkan moral pasukan penguat kuasa.

Undang-undang Malaysia, milik Malaysia bukan milik warga asing. Jangan biarkan orang asing sewenang-wenangnya mempermainkan kedaulatan negara. Kita perlu jaga kita.

Haria PATI Haria!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here