‘Tiada’ Aidilfitri tahun ini, tahun depan jika berkesempatan

0
175

ORANG kita memang cukup kreatif dan pantas dalam olahan sesuatu isu agar ia tular di media sosial. Belum pun sempat kerajaan mengumumkan larangan ziarah Aidilfitri, tular sudah ‘kad raya’ yang agak unik sifatnya.

Berbeza dengan kad-kad ucapan berwarna-warni yang biasa kita lihat, kad yang dikongsikan seorang sahabat melalui hantaran Facebook baru-baru ini berbeza rupa dan isi kandungannya. Bukan kad raya biasa tapi sebenarnya lebih kepada satu notis.

“Maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki…. Kami tidak menerima tetamu pada tahun ini ya kerana dalam rumah kami ada insan-insan yang berisiko terkena jangkitan,” berikut kata-kata pada perkongsian yang diakhirinya dengan ucapan maaf zahir dan batin.

Lupakan seketika kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun-tahun sebelum ini demi kesihatan ahli keluarga.

Dalam memperkatakan langkah pencegahan wabak Covid-19 yang melanda kita sekarang. Penulis cukup suka pada perkongsian yang memberi mesej jelas dan padu seperti ini, walaupun berbunyi sedikit keras.

Sekurang-kurangnya ia menyampaikan mesej tanpa berselindung. Maklumlah masyarakat kita ada bermacam-macam peringkat pemahaman dan penerimaan, risau juga takut terlepas yang susah mahu faham.

Bukan mahu menyombong tetapi tahun ini, terimalah hakikat bahawa sambutan Aidilfitri sudah tidak lagi seperti biasa. Dalam bahasa mudahnya, ‘tiada Aidilfitri’ bersama saudara dan sahabat handai.

Tidak tahu penerimaan orang lain tetapi pada penulis, keputusan untuk tidak berkunjung dan tidak menerima pelawat pada hari raya kali ini adalah tindakan yang sebaiknya.

Walaupun ada yang mengatakan sudah sampai masanya untuk kita semua ‘menghadap sahaja’ Covid-19 ini, penulis rasa sekarang masih bukan lagi masanya.

Namun sebagai umat Islam, hari kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadat puasa itu tetap wajib diraikan. Jadi fikirkanlah persiapan apa yang perlu dan apa yang tidak, sempena Aidilfitri tahun ini.

Cukuplah panggilan telefon dan kad ucapan di media sosial menjadi pengganti diri. Jika ada ampau yang ingin dikirim, bank in sahaja pun boleh. Kepada jiran tetangga pula, cukuplah sekadar berkongsi juadah dan hidangan.

Jangan kerana kemeriahan yang sehari dua itu, kita perjudikan diri dan ahli keluarga dengan malapetaka yang tidak diduga. Atau paling tidak pun, risiko dihantui kebimbangan selama beberapa hari apabila ada yang mula tidak sihat.

Bagi yang pernah melalui situasi seperti itu, mereka mungkin memahami apa yang penulis sampaikan.

Pendirian penulis dalam soal pencegahan ini, biarlah kita tidak percaya kepada sesiapa dan tidak membuka pintu kecuali kepada ahli keluarga yang kita betul-betul yakin mereka tidak mempunyai kontak berisiko.

Bukan apa, mungkin dalam kalangan tetamu yang berkunjung nanti ada yang berisiko atau berkongsi kediaman dengan mereka yang berisiko.

Ada yang mungkin bekerja di kaunter perkhidmatan dan jualan, ada yang bersaudarakan pekerja di pasar borong, yang kerap bersesak dalam bas dan keretapi serta sebagainya.

Lebih membimbangkan sekiranya ada tetamu yang membawa bersama anak-anak kecil yang berisiko terkena atau menjadi ejen jangkitan. Bayangkan apabila kanak-kanak ini berhimpun dalam satu rumah.

Mampukah kita dewasa mengawalnya? Mengambil kira masyarakat kita yang ‘berbilang bahasa’, ini sudah tentu tidak mustahil berlaku.

Apa pun penulis harap tulisan ini tidak menghiris perasaan ahli keluarga dan sahabat. Hasrat untuk pulang ke kampung, menziarah sahabat dan menjemput tetamu pada Aidilfitri kali ini sudah dilupakan.

Kesempatan ini saya doakan semoga kita semua dijauhkan daripada wabak dan diberikan kesihatan yang berpanjangan. Stay Home, Stay Safe.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here