Tiada lagi kesesakan di Jalan Masjid India

0
330

KUALA LUMPUR- Setiap tahun, Jalan Masjid India di sini pasti menjadi antara lokasi wajib bagi warga kota beragama Islam membeli kelengkapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Setiap tahun kawasan berkenaan cukup meriah dan biasanya setiap lorong di Jalan Masjid India juga dipenuhi pelbagai deretan gerai jualan baju raya, kuih raya, barangan perhiasan rumah dan banyak lagi.

Bagaimanapun, situasi tahun ini bertukar 100 peratus kerana tiada lagi gerai jualan di setiap lorong. Yang tinggal hanyalah jualan di deretan rumah kedai dan di bangunan sedia ada.

Itu pun, tinjauan Malakat Tribune mendapati hanya 30 peratus kedai dibuka dan pelanggan juga boleh boleh dikira dengan jari. Lorong yang sesak, kini boleh dilalui dengan mudah menaiki kereta.

Jika dahulu, berjalan kaki pun sudah sesak di kawasan lorong berkenaan. Kini segalanya berubah ekoran wabak Covid-19, lebih-lebih lagi kawasan berkenaan sebelum ini antara lokasi terkesan.

Untuk makluman semua kawasan Jalan Masjid India, Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara Plaza City One telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Walaupun perintah berkenaan ditamatkan, orang ramai tidak mahu mengambil risiko berkunjung ke kawasan berkenaan selain ingin berjimat cermat ketika keadaan ekonomi tidak menentu.

Rata-rata peniaga yang ditemui juga mengeluh dengan keadaan semasa namun, tetap membuka perniagaan bagi menjual barangan yang telah ditempah sejak awal tahun ini untuk mengelak kerugian.

Menurut seorang peniaga kurta, Emraini Muhsinin, 42, beliau telah membuka perniagaan sejak Isnin lalu iaitu selepas perintah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Jauh beza dahulu (tahun-tahun sebelum ini) dengan sekarang. Pelanggan tiada, mungkin takut lagi untuk keluar. Semalam saya buka kedai dari pukul 10 pagi hingga 4 petang hanya dapat RM180.

“Jualan sangat perlahan sekarang, pelanggan tiada. Kita boleh lihat yang lalu depan kedai pun tak ramai. Mungkin nak dekat raya nanti akan ramai, sekarang kedai pun banyak yang tak buka lagi,” katanya.

Sementara itu, peniaga songkok, sampin dan capal, Abdul Razak Ahmad, 50, berkata, dia datang ke kedainya hari ini untuk susun stok songkok dan bersihkan kedai yang akan dibuka dua hari lagi.

“Sangat-sangat terjejas tahun ini, stok sudah sampai sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi, saya tidak dapat jual satu pun lagi songkok. Hari ini datang bersih kedai sahaja.

“Mungkin akan buka dalam masa terdekat. Saya hanya jual di kedai yang disewa dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak jual dalam talian. Harap selepas ini keadaan bertambah baik,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here