Tiada Ops Selamat, tiada lagi linangan air mata di Aidilfitri

0
159
Gambar hiasan

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri kali ini benar-benar berbeza. Tanpa sesi kunjung mengunjung sampai ke tengah malam, tanpa menziarahi pusara dan tanpa kuih raya penuh di atas meja.

Lebih sayu raya kali ini juga tiada siapa pun yang dibenarkan untuk merentas negeri untuk pulang berhari raya. Bagi yang tinggal serumah atau setaman atau sedaerah atau senegeri dengan orang tua mungkin tidak terasa sangat sebab masih boleh pulang berhari raya.

Jika dilihat dari sudut positif dan hikmah di sebalik kejadian ini mungkin kita boleh menarik nafas lega kerana tiada lagi kepulangan yang ditangisi oleh orang tua di kampung halaman.

Sebelum ini setiap tahun ketika sambutan Aidilfitri, angka korban akibat kemalangan jalan raya yang dicatatkan dalam Ops Selamat sangat membimbangkan.

Tahun lepas sahaja, dalam tempoh 12 hari Ops Selamat dilancarkan sebanyak 207 kemalangan maut direkodkan dan 19,515 kemalangan jalan raya dicatatkan.

Tahun ini pastinya berbeza, tiada lagi kisah kemalangan maut terpampang di muka hadapan surat khabar akibat kemalangan jalan raya. Keluarga di kampung juga pasti gembira dan dapat menarik nafas lega. Lega selega-leganya.

Namun begitu, mengenali sikap rakyat Malaysia pasti ada sahaja benda baharu yang ingin dicuba atau dalam erti kata lain cuba ‘mencari penyakit’.

Manakan tidak, selepas Ops Selamat tiada kini ada pula rakyat Malaysia yang cuba mencari penyakit dengan mencuba nasib merentas negeri untuk pulang berhari raya.

Walaupun sudah ditegaskan sejak awal bulan ini oleh Perdana Menteri bahawa warga kota tidak dibenarkan pulang berhari raya merentas negeri lain, masih ada yang berdegil dan keras kepala.

Pendedahan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) hari ini bahawa 1,633 kenderaan cuba merentas negeri sangat membimbangkan.

Tidak dapat dihadamkan bagaimana tahap pemikiran individu sebegini yang sangat mementingkan diri sendiri. Bayangkan jika secara tiba-tiba mereka ini merupakan pembawa virus Covid-19 dan tanpa disedari ‘menghadiahkan’ virus berkenaan kepada ibu, bapa, tok, nenek, kakak, abang atau pun saudara di kampung.

Jika dilihat dari segi data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, rata-rata daerah dan negeri di luar Lembah Klang berada dalam zon hijau. Hanya satu, dua tempat sahaja berada dalam zon merah.

Jadi boleh fikir sendiri kenapa kerajaan sangat bertegas dalam hal ini. Banyak contoh di luar negara apabila berlaku aktiviti rentas negeri ketika musim perayaan, telah menyebabkan pertambahan jumlah jangkitan Covid-19. Situasi ini yang cuba dielakkan oleh Kementerian Kesihatan.

Ya, memang betul ‘feeling’ ketika menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung dan di kota sangat berbeza tapi percayalah ‘feeling’ menyambut sekujur badan yang menjadi jenazah lagi menyedihkan dan sayu.

Tambahan pula jenazah yang disahkan dijangkiti Covid-19, lagi menyedihkan. Mereka bukan sahaja berseorangan ketika malaikat maut datang menjemput tetapi berseorangan sehinggalah jenazah diletakkan di dalam liang lahad sebelum tanah dikambus.

Jadi fikirlah dengan rasional, jangan kerana sikap degil dan keras kepala kita akhirnya yang menjadi mangsa ialah keluarga tercinta di desa.

Kalau tak sempat sambut Aidilfitri kali ini tunggulah kalau ada peluang sambut selepas puasa enam. Hari raya kan sebulan.

Kalau tak sempat juga tunggulah sampai Hari Raya Korban. Yang penting raya tetap raya dan jangan lupa juadah hari raya di atas meja.

Bagi lelaki gagah perkasa, siapkan diri menjadi imam dan khatib bertugas ketika solat sunat Aidilfitri. Masih ada banyak masa untuk buat persiapan. Google sahaja, semua ada di hujung jari. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here