Tidak mustahil kita ada Perdana Menteri baharu lagi-Aminuddin

0
1504

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, sandiwara politik negara ini masih belum berakhir dan tidak mustahil akan bertukar Perdana Menteri baharu tidak lama lagi.

Menurut Aminuddin, sejak awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, hampir setiap hari pemimpin Pakatan Harapan meratib menuntut agar sidang Parlimen dibuat kononnya membincangkan isu rakyat terutamanya wabak Covid-19.


“Rupa-rupanya semua itu hanyalah sandiwara politik yang tidak bermaruah sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin bersyukur usul undi tidak percaya yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Nampaknya isu kemelut politik belum berakhir lagi. Belum sempat rakyat menikmati kehidupan selepas wabak Covid-19 ini, kini kita terpaksa sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik.

“Di sini kita dapat lihat dengan jelas, betapa Tun Dr. Mahathir bukan seorang yang mudah mengaku kalah. Cuma yang menjadi mangsa ialah rakyat semua,” katanya.

Aminuddin berkata, dalam kedaan sekarang, rakyat menjadi mangsa apabila ahli politik sibuk memikirkan kuasa masing-masing.

“Sudahlah ratusan rakyat Malaysia telah meninggal dunia, ribuan yang hilang pekerjaan, keadaan ekonomi semakin meruncing tetapi ahli politik tetap sibuk memikirkan kuasa masing-masing sahaja.

“Kalaulah ini tidak dikatakan sebagai gila kuasa, tak tahulah apa yang saya nak dikatakan lagi. Ini sesuatu yang sangat tidak boleh diterima oleh akal,” tegasnya.

Beliau berkata, situasi ini secara tidak langsung cuba dijadikan satu tamparan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana jika benar Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti, bermakna asas keputusan Seri Paduka akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dengan perangai ahli-ahli Parlimen yang suka melompat-lompat parti ini, maka tidak mustahil kita akan dapat Perdana Menteri baharu tidak lama lagi.

“Kalau tawaran yang diberikan ialah jutaan ringgit atau jawatan-jawatan yang mengiurkan, saya tak menolak kemungkinan bahawa akan ada yang sanggup lompat tanpa rasa segan silu, “katanya.

Sehubungan itu Aminuddin meminta semua rakyat memastikan memilih dengan penuh kematangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Jangan mengundi dengan terlalu ikut perasaan dan emosi kerana telah terbukti natijahnya sangat menyeksakan. Pastikan kita menolak calon-calon yang gila kuasa, korup dan rosak akhlak serta penghina agama dan bangsa.

“Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik dan memelihara negara ini dari segala kefasadan,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here