Tidak mustahil PKPB kembali kepada PKP

0
193

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika tidak mahu kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melonggarkan perintah pergerakan supaya rakyat mematuhi peraturan yang dikeluarkan kerana bimbang akan berlaku peningkatan kes positif Covid-19.

“PKPB bukan boleh kekal terus sebagai PKPB sebaliknya mungkin ia boleh dipertatkan semula.

“Ini tertakuk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran, ” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Tegas Ismail Sabri, sekiranya berlaku banyak ketidakpatuhan, bukan perkara mustahil akhirnya PKP diperkenalkan semula.

“Sebab itu jika kita nak PKPB ini dinikmati dan akhirnya mungkin PKPB juga boleh ditamatkan, ianya bergantung kepada pematuhan SOP dan peraturan oleh rakyat.

“Jika tidak mustahil kita kembali PKP yang asal dan akhirnya membataskan kembali pergerakan,”katanya.

Menurut Ismail Sabri, adalah lebih baik menikmati kebebasan tetapi mematuhi syarat supaya seterusnya perintah kawalan itu dapat ditamatkan.

Beliau berkata demikian susulan tular sebuah video yang menunjukkan berlaku kesesakan di warung-warung di sekitar Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Menurutnya, selepas dirujuk kepada Ketua Polis Negara, video yang tular itu adalah benar bukannya palsu.

“Kadang kala kita lihat seolah-olah rakyat kita menganggap sudah tiada undang-undang berkuat kuasa sepanjang PKPB.

Saya lihat ramai yang bebas, kebebasan ini tanpa syarat dan mengambil kesempatan keluar beramai ramai dan sebagainya malah ada juga yang bawa anak kecil ke supermarket.

“Saya ingin tekankan, undang-undang di bawah Akta 342 masih berkuatkuasa, ” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here