Tidak samakah nilai nyawa mereka dengan mangsa Covid-19?

0
133
Hazwan Mohamad

CYBERJAYA – Tidak samakah nilai nyawa yang terkorban akibat wabak covid-19 dengan nyawa yang melayang akibat menjadi mangsa kecuaian pemandu mabuk?

Itu soalan yang dicetuskan Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Berjasa (Angkasa), Hazwan Mohamad susulan satu lagi kemalangan yang mengorbankan seorang anggota polis awal pagi ini, dipercayai dilanggar pemandu mabuk.

Hazwan berkata, insiden seumpama ini bukan pertama kali berlaku, bahkan sudah beratus nyawa sudah hilang akibat isu sama.

“Geram baca berita seorang anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk semalam. Ironinya, ini bukan kali pertama. Kata PM, satu nyawa diragut wabak Covid-19 amat bermakna buat negara.

“Bagaimana pula dengan nyawa yang diragut pemandu mabuk? Kita yang baca sakit hati, apalah perasaan keluarga yang menanggung,” katanya dipetik portal ismaweb.net.

Beliau menegaskan, sudah tiba masanya hukuman ke atas pemandu mabuk dinilai semula, selain menuntut industri arak supaya turut bertanggungjawab.

“Sudahlah berkorban siang malam sebagai barisan hadapan, hadiahnya sekujur tubuh dibawa pulang ke pangkuan keluarga hanya dek kerana celakanya sang pemabuk,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi tadi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here