Tindakan naikkan caj tambang tidak dibenarkan

0
93

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Syarikat pengangkutan awam tidak dibenarkan menaikkan sebarang caj tambang kepada penumpang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kejatuhan harga minyak.

“Semalam terdapat aduan berkaitan caj tambang feri di Langkawi sama ada dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah atau dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dinaikkan tambang sebanyak RM10.

“Oleh itu kerajaan telah membuat keputusan bahawa kita tidak membenarkan pengangkutan awam menaikkan caj tambang pada waktu ini tidak kiralah feri, bas atau sebagainya.

“Ini kerana pertimbangan kita adalah harga minyak telah turun pada paras sangat rendah pada ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mamahami situasi syarikat pengangkutan awam yang menaggung kerugian kerana terpaksa mengambil hanya separuh kapasiti saja untuk satu perjalanan.

“Bagaimanapun kerugian tersebut boleh ditampung dengan harga minyak yang rendah pada ketika ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here