Oleh SITI AZIELAH WAHI
CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan kepada mana-mana peniaga menaikkan harga barangan makanan secara mendadak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.
“Tindakan akan diambil jika didapati mana-mana peniaga sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara mendadak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.
Beliau juga memaklumkan penguat kuasa KPDNHEP semalam telah membuat pemantaun harian ke atas 25 jenis bekalan di 1,052 premis perniagaan termasuk 839 peruncit, 183 pemborong dan 30 pengilang.
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.
Sehubungan itu Ismail Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi.
Selain itu Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga telah membuka saluran pengedaran barangan keperluan harian basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan daging.
“Dari 18 Mac sehingga semalam, saluran pengedaran FAMA berjaya melibatkan seramai 1,882 petani, 1,700 usahawan dan 11 pasar raya yang memanfaatkan 2.81 juta pengguna,” katanya.
Pada masa sama beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri ketika keluar membeli barangan keperluan asas.-MBNews