Ustaz Ebit Liew bantu keluarga daif di Tumpat, Kelantan

0
477

TUMPAT – Kehidupan daif 11 beranak di Tumpat, Kelantan mendapat perhatian pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew yang sedih melihat keadaan rumah usang dihuni keluarga berkenaan.

Ibarat sinar sempena kemuliaan Ramadan, Ustaz Ebit Lew memberitahu keluarga yang menumpang teduh di rumah di atas tanah milik orang lain sejak lima tahun lalu itu akan mendapat rumah baharu.

Ustaz Ebit Lew yang memuat naik beberapa gambar di media sosial facebook miliknya turut berkongsi cerita mengenai keluarga berkenaan yang mengundang sebak siapa yang melihatnya.

“Ya Allah sayunya hati ini, sebuah keluarga memiliki anak 9 orang. Paling besar 18 tahun, sudah lima tahun duduk di sini.

“Tiada bilik, mereka menumpang sambil menjaga kubur. Suami isteri kerja cari besi buruk dan jaga kubur. Anak sulung 18 tahun sebelum ni kerja kantin sekolah.

“Tak tahulah bila tengok orang susah saya terasa seperti keluarga saya. Rumah ini, peti ais, mesin basuh dan tiada apa pun. Rasa macam semua tiada. Ya Allah tuhanku. Doakan, tengah cari rumah dan nak cari barang asas sikit,” katanya.

Menurut Ustaz Ebit Liew, keluarga berkenaan sebelum ini menyewa sebuah rumah pada harga RM200 sebulan.

Bagaimanapun katanya, atas faktor kesihatan suami yang diserang sakit jantung dan kehidupan mereka sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang mencari rezeki, keluarga ini tidak mampu membayar wang sewa tersebut.

“Keluarga berkenaan yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 turut menerima peruntukan membaik pulih rumah tetapi bantuan tidak dapat disalurkan kerana menetap di atas tanah milik orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Ebit Lew juga bersyukur kerana banyak pihak membantu keluarga itu selain mendapat sokongan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan beberapa pemimpin tempatan kerana turut hadir ketika bantuan disalurkan.

“Mereka ucap tahniah dan terima kasih membantu. Mereka ada menghantar bekalan makanan dan ada peruntukan nak baiki rumah. Cuma tanah orang jadi tak dapat nak baiki. Mereka dapat bantuan JKM RM200 sebulan. Terima kasih semua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap pencarian rumah sewa untuk keluarga berkenaan dipermudahkan dan meminta orang ramai mendoakan semuanya berjalan lancar.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here