Waktu kerja anjal dicadangkan bagi elakkan kesesakan jalan raya, pengangkutan awam

0
203

Sekatan jalan raya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

CYBERJAYA – Pihak majikan digesa supaya melaksanakan waktu bekerja yang anjal bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya dan stesen pengangkutan awam apabila lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi bermula minggu hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu tidak semua pekerja perlu masuk bekerja pada waktu yang sama sekali gus dapat mengelakkan semua orang daripada berkejar untuk masuk ke pejabat.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak syarikat pengangkutan awam juga perlu membuat persiapan rapi apabila dijangkakan jumlah pertambahan pengguna akan meningkat pada minggu hadapan.

“Dalam keadaan kita nak mengawal penularan Covid-19, kita mesti elakkan kesesakkan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri juga menasihatkan supaya semua pengguna pengangkutan awam memakai penutup hidung dan mulut.

“Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak Covid-19. Jadi ambil langkah-langkah untuk lindungi diri sendiri. Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg.

“Sentiasa bawa hand sanitizer (pencuci tangan) untuk digunakan jika perlu,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meminta pihak majikan memastikan setiap pekerja diperiksa suhu badan masing-masing di tempat kerja, memastikan peralatan di pejabat bersih dan mengelakkan bersentuhan bersama rakan sepejabat yang lain.

“Mustahil saudara-saudari boleh berkurung di dalam rumah selama-lamanya. Saudara-saudari perlu juga keluar untuk bekerja, berniaga dan membeli barang-barang keperluan harian.

“Yang penting jaga kebersihan diri. Jaga keselamatan dan keluar rumah hanya untuk urusan-urusan yang perlu sahaja,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here