Walaupun cuti, Dr. Noor Hisham umum jumlah kes Covid-19 melalui kenyataan akhbar

0
192

 

CYBERJAYA – Sejak kes pertama Covid-19 kira-kira lima bulan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bersama pasukannya tidak berhenti bertugas dalam menangani wabak itu di negara ini.

Malah, beliau dan pasukannya bersama petugas barisan hadapan lain meningkatkan penugasan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Setiap hari beliau akan mengadakan sidang akhbar dalam melaporkan perkembangan terkini wabak tersebut yang membadai seluruh dunia.

Atas pengorbanan yang dilakukan maka Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi cuti kepada Ketua Pengarah Kesihatan itu hari ini.

Dr. Noor Hisham dalam hantaran akaun Facebook miliknya berkata, beliau bersama sebahagian pasukannya diberi peluang berehat seketika.

“Pada petang ini saya dan sebahagian pasukan saya diberi peluang untuk berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019 dalam respon dan kesiapsagaan KKM (Kementerian Kesihatan)  menghadapi penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada sidang akhbar dijadualkan pada hari ini, satu kenyataan akhbar menyusul bagi memastikan rakyat mendapat maklumat terkini berkaitan status jangkitan Covid-19 dalam negara. 

Dalam pada itu, perkembangan Covid-19 di negara ini mencatatkan 65 kes sembuh yang dibenarkan discaj dari wad dan 54 kes baharu serta satu kes kematian dilaporkan hari ini.

Menerusi kenyataan dalam aplikasi Telegram CPRC KKM, jumlah kumulatif pesakit yang discaj adalah seramai 4,922 iaitu 74.8 peratus manakala jumlah kumulatif kes baharu iaitu 6,589 kes.

Kata kenyataan itu, jumlah kes aktif pula ialah 1,552 kes dan jumlah kumulatif kematian 108 iaitu 1.63 peratus.

“Bagi pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hari ini seramai 18 dirawat di ICU dengan enam daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” kata kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here