Xavier menghasut dan menghina Agong – Aminuddin

0
418

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Petubuhan-Pertubuhan Pembela Islam Malaysia (Pembela) menyifatkan, kenyataan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar berhubung sidang Parlimen semalam sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, video ucapan Xavier yang menyifatkan sidang Parlimen semalam sebagai ‘sampah dan tidak berguna’ adalah suatu kenyataan biadap dan melanggari adab seorang ahli Parlimen.

“Paling jelas ia adalah penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang bertitah semalam. Apakah beliau menyifatkan titah ucapan Tuanku sebagai ‘sampah dan tidak berguna’ kerana itu sahaja agenda pada sidang Parlimen hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa, kata-kata ahli Parlimen itu boleh disifatkan sebagai menghasut, dan laporan polis wajar dibuat ke atas beliau.

“Saya cadang agar semua rakyat Malaysia yang cintakan negara, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-raja membuat laporan polis terhadap Dr. Xavier,” katanya.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat itu bukanlah tidak disengajakan sebaliknya beliau yakin ia dirancang teliti untuk timbulkan rasa kebencian semata-mata.

“Kenyataan itu bukan tidak disengajakan bahkan telah diteliti kerana dahagakan perhatian dan pengaruh politik mereka yang semakin lemah,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, biar mahkamah putuskan jika laporan polis ini membuahkan hasil.

Pada masa sama beliau menyeru agar rakyat terus memerhati dan melaporkan mana-mana individu yang turut mengeluarkan kenyataan sebegini dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Tindakan segera perlu diambil untuk menghentikan atau menghalang mana-mana individu atau kumpulan lain mengeluarkan kata-kata nista yang sama sebegini,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here