11 ditahan memandu dibawah pengaruh alkohol

0
136
MAZLAN LAZIM

KUALA LUMPUR – Isu memandu dibawah pengaruh alkohol seperti tidak diambil perhatian oleh segelintir masyarakat apabila seramai 11 lelaki ditahan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di empat lokasi sekitar ibu negara malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi yang dijalankan di Jalan Klang Lama, Hartamas, Kepong dan Jalan Hang Tuah menahan semua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, sebanyak kira-kira 150 kenderaan diperiksa dalam operasi yang bermula dari 9 malam sehingga 12 tengah malam ini.
“Operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman beralkohol tidak memandu. Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya yang dilaksanakan pada operasi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah malam tadi.

Mazlan berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Mengulas mengenai beberapa pub dan bar yang dibuka sekitar ibu negara, beliau berkata, terdapat antara premis berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan restoran makanan.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, seramai 150 pasukan ditubuhkan bagi memantau premis terbabit dan kawasan menjadi tumpuan orang ramai supaya prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi seperti termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ada antara pub ini mempunyai lesen restoran yang juga menjual minuman arak tetapi kita pastikan mereka mematuhi penjarakan sosial serta menutup operasi pada 10 malam.

“Sebanyak 463 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 19 Mei hingga semalam, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here