11 PATI ditahan dalam tiga bot nelayan tempatan

0
407
Salah sebuah bot nelayan yang ditahan kerana cuba menyeludup PATI

LUMUT – Percubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membolosi sempadan negara gagal apabila mereka berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, kelmarin.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam Ops Benteng Laut itu, 11 PATI itu berjaya ditahan susulan tertangkapnya tiga buah bot nelayan tempatan kelas B1 yang melakukan kesalahan menangkap ikan bawah 12 batu nautika.

“Penahanan berjaya dilakukan sekali lagi oleh Kapal Maritim Malawali pada pukul lebih kurang 7.15 malam di perairan Hutan Melintang iaitu 6.4 batu nautika barat daya Sungai Belukang melalui maklumat dan aduan dari penduduk setempat.

“PATI yang terdiri daripada tiga warganegara Indonesia dan lapan warganegara Myanmar yang berumur di dalam lingkungan 17 hingga 40 tahun akan didakwa di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian PATI yang ditahan

Dalam pada itu, katanya, kesemua tahanan itu kemudiannya diarahkan menjalani prosedur saringan Covid -19 dan diletakkan di Pejabat Daerah Manjung sementara menunggu keputusan lanjut.

Sementara itu, Shahrizan berkata, pihaknya kini mengumpul aduan salah laku yang disalurkan oleh orang awam dan bertindak mengikut masa yang sesuai.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama komuniti maritim dalam menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI dalam usaha menggempur PATI yang menyeludup masuk melalui sempadan perairan negara.

Sementara itu, katanya, orang awam dan komuniti maritim perlu bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang mebabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Perak 05-6838737.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here