200 kedai milik PATI disita semasa PKP

0
411
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Hampir 200 premis perniagaan dikendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang disita sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan masih terdapat PATI yang menjalankan perniagaan di sekitar pasar borong berkenaan.

“Masih ada, namun melalui penguatkuasaan, hampir 200 premis disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Sehingga kini memang ada lagi PATI di sekitar pasar borong menjalankan aktiviti tetapi di dalam (pasar borong) tiada. Saya sudah beritahu Datuk Bandar pastikan penguatkuasaan adalah konsisten,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Sebelum ini, lebih 3,000 PATI yang bekerja secara haram di Pasar Borong Kuala Lumpur berjaya disingkirkan DBKL ketika PKP dengan peluang pekerjaan itu diisi oleh warga tempatan.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya berusaha untuk memastikan majikan tidak mengambil PATI bekerja dengan melaksanakan demo penggunaan mesin berteknologi tinggi ketika operasi di pasar borong itu.

“Tetapi masih ada lagi tauke nak guna cara lama dan apabila kita nak memperkenalkan beberapa peralatan dan mesin, mereka teragak-agak namun kita mahu mereka menggunakan teknologi ini, ” katanya.

Sementara itu, berhubung prosedur operasi standard (SOP) pasar malam, Annuar berkata, DBKL bersedia melakukan perbincangan dengan persatuan peniaga untuk mendapatkan kaedah terbaik dalam operasi perniagaan itu.

“Saya fikir itulah cara terbaik, kita boleh kembali duduk berbincang kerana SOP sedia ada ini mengambil keperluan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Namun jika rasa SOP sedia ada ini ketat dan sukar, kita boleh bincang konsep berniaga di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ” katanya.

Sebelum ini, kira-kira 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang PKPP susulan SOP yang terlalu ketat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here