
CYBERJAYA – Seramai 915 pelajar yang terkandas di institusi pengajian tinggi (IPT) akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihantar pulang hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses penghantaran pulang pelajar ke kampung halaman masing-masing itu dilakukan menerusi enam penerbangan.
“Sebanyak tiga penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu, Miri dan Bintulu dijadual untuk penghantaran 491 pelajar.
“Manakala dua penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu melibatkan 326 pelajar dan satu lagi penerbangan dari Bintulu ke Kuching dan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur akan membawa pulang 98 pelajar,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri berkata, sejak 27 April lalu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang 56,814 pelajar yang berada di kampus ke pangkuan keluarga pelajar masing-masing.
“Semalam tiada pergerakan penghantaran pelajar pulang sempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan,” katanya. -MT