Ada yang cuba hadkan peranan Raja-raja Melayu

0
303

CYBERJAYA- Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya menjangka gerakan menghapus atau mengehadkan peranan Raja-raja Melayu akan berlaku lagi.

Beliau berpandangan begitu selepas melihat ada golongan liberal dan pro Barat tidak suka dengan cadangan kuasa Yang diPertuan Agong (YDPA) dipertingkatkan.

Golongan tersebut telah membuat laporan polis dan mengharapkan agar beliau disiasat serta diambil tindakan semata-mata kerana memberi cadangan berkenaan.

“Jika cadangan sebegini pun ada yang tidak senang sehingga mahu saya diambil tindakan kononnya kerana ‘mencabar sistem demokrasi’, maka memang tidak peliklah jika ada gerakan supaya Raja-Raja Melayu dihapuskan atau dihadkan kuasanya lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aminuddin juga mencadangkan agar sistem semi-demokrasi di mana selain dari jawatan perdana menteri, semua jawatan-jawatan menteri dan GLC tidak dipegang oleh mana-mana wakil rakyat tetapi oleh teknokrat dan penjawat awam sebagaimana Menteri Agama dan Menteri Kewangan sekarang.

Beliau berkata, ia bukan suatu perkara asing kerana sekarang ini pun sistem yang hampir seperti itu berjalan dengan pelantikan senator Dewan Negara.

“Ia mungkin boleh dikembangkan lagi kerana bilangan lantikan senator adalah terhad dan melalui sistem itu, ahli-ahli politik tidak lagi berebut untuk menjadi menteri tetapi sebaliknya khusus untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Saya harap perkara ini dapat diwacanakan dan dibahaskan supaya idea ini dapat dikembangkan dan dipermatangkan demi masa depan negara yang lebih cerah dan stabil,” katanya.

Tambah beliau, peralihan kuasa kerajaan kepada Perikatan Nasional baru-baru ini adalah akibat huru-hara dalam politik tanahair dan ia telah diselamatkan oleh kuasa Agong.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan raja di Malaysia dan menjadi sangat relevan untuk kuasa raja itu dipertingkatkan serta diperkasakan lagi,” jelasnya.

Aminuddin mendakwa, reaksi ‘terlompat’ puak-puak yang membuat laporan terhadapnya menunjukkan mereka suka berlakunya huru-hara politik, rasuah-merasuah jawatan dan sebagainya yang disebabkan oleh perebutan jawatan dan kuasa oleh ahli-ahli politik.

“Cadangan saya itu sebagai solusi yang boleh kita wacanakan demi kestabilan negara. Insyaallah, kita akan terus menjunjung tinggi kuasa dan kedaulatan Raja-Raja di Malaysia ini apatah lagi daripada dicabar dan diperkotak-katikkan,” katanya lagi. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here