Agong buat kejutan, berkenan lawat murid SMK Danau Kota

0
284
Agong dengan diiringi Menteri Pendidikan bertanya sesuatu kepada murid SMK Danau Kota

CYBERJAYA – Pelajar dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur hari ini dikejutkan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan selepas ditutup lebih tiga bulan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menerusi satu hantaran dalam laman Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda berkenan hadir ke sekolah itu untuk beramah mesra dan bertanya khabar dengan murid-murid di dalam kelas.

Dalam beberapa keping gambar yang diletakkan dalam hantaran itu menunjukkan baginda turut ‘merasa’ sendiri suasana baharu pembelajaran dalam kelas termasuk ketika sesi rehat.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di sekolah tersebut pada pukul 10 pagi disambut oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

“Di dalam lawatan ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh para guru, murid dan ibu bapa atau penjaga.

“Ini adalah penting bagi mencegah penularan wabak Covid-19, khususnya di sekolah-sekolah berikutan pembukaan semula sesi persekolahan untuk kelas peperiksaan awam yang melibatkan murid tingkatan lima dan enam,” ujarnya.

Agong bersama murid SMK Danau Kota turut merasa sendiri suasana waktu rehat dalam kelas

Dalam pada itu, katanya, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada KPM, pihak sekolah dan semua guru di atas kesiapsiagaan serta persediaan rapi bagi menjamin keselamatan diutamakan dan mengelakkan risiko jangkitan di kalangan guru dan murid sepanjang berada di sekolah.

Pada masa sama, baginda turut menasihati para guru dan murid agar bersabar menjalani sesi persekolahan dengan tatacara kebiasaan baharu, termasuk penjarakan sosial, dan sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di dalam dan luar waktu persekolahan.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga semua guru dan murid di Malaysia yang kembali bertugas dan bersekolah dipermudahkan segala urusan dan dilindungi Allah SWT,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here