Agong seru rakyat bersabar, biasakan amalan norma baharu

0
162

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang telah dikecapi bersama selama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan seluruh rakyat terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.

“Beta menyeru rakyat terus bersabar dan berdisiplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan usaha membanteras dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” titah Seri Paduka.

Baginda bertitah demikian sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyanjung tinggi terhadap komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para petugas keselamatan dan barisan hadapan dalam memerangi wabak ini.

“Beta mendoakan agar Malaysia terus dilindungi dari semua bentuk ancaman, dirahmati dan diberkati serta dikurniakan dengan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan,” titah Seri Paduka. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here