Agong seru rakyat Malaysia doa kesejahteraan Palestin

0
337

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia diseru supaya mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Israel.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan demikian kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan seperti dilapor Bernama.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sangat prihatin dan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel itu.

“Seri Paduka Baginda menyokong usaha Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang jelas menentang pelan rejim Israel untuk mengilhakkan sebahagian wilayah Palestin.

“Seri Paduka Baginda juga menyokong pendirian berprinsip dan tidak berbelah Kerajaan Malaysia dalam mengecam dan menolak pelan rejim Israel untuk mengilhakkan (annex) sebahagian tanah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967 di Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, seperti yang diumumkan oleh rejim Israel sebelum ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut menitahkan masjid dan surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

“Seri Paduka Baginda percaya perjuangan ini juga dapat dicapai untuk rakyat Palestin sekiranya mereka bebas daripada penjajahan rejim Israel dan mereka diberi sokongan serta hak menubuhkan sebuah negara yang merdeka di wilayah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here