
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Lubok Antu daripada PKR, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan meninggalkan parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana kesal dengan permasalahan dalaman parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sehingga tumbangnya kerajaan pimpinan gabungan parti itu.
“Saya berikrar menyokong penuh kerajaan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari demi kesejahteraan dan pembangunan rakyat di Lubok Antu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu dengan memperolehi 5,834 undi atas tiket Bebas dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PH yang diwakili PKR.
Jugah kemudian bersama penyokongnya menyertai PKR dan menjadi sebahagian kerajaan PH.
Keputusan yang dibuat Jugah itu memberikan tamparan kepada pembangkang yang kini sedang mengatur langkah untuk merampas semula kerajaan Pusat.
Sementara itu, katanya, beliau berharap dengan keputusan itu, kawasan luar bandar yang diwakilinya diberi perhatian oleh kerajaan.
“Parlimen saya merupakan kawasan luar bandar dan memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan untuk pembangunan,” katanya.-MT