Anak Mat Sabu kena penjara 8 bulan

0
224

KUALA LUMPUR – Anak bekas Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad dihukum penjara lapan bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka pada awal tahun lalu.

Majistret, Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di Hotel W, di sini, pada pukul 2.05 pagi 5 Januari tahun lalu.

Menurut laporan Berita Harian, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 15 Oktober 2019, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.

Menurut laporan media, pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Anak ketiga Mohamad Sabu itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here