Antara rusuhan di Minneapolis dan pemandu mabuk, bom jangka yang menunggu mangsa

0
256
Kemalangan melibatkan pemandu mabuk semalam sehingga satu nyawa melayang

HARI ini memasuki hari ketujuh tragedi rusuhan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) susulan kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd ketika ditahan polis.

Rusuhan yang pada mulanya berlaku di Minneapolis kini merebak ke 30 kawasan lain termasuk di Washington DC.

Lebih memburukkan keadaan apabila kejadian rusuhan ini berlaku ketika AS sedang bergelut dengan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang kini mencecah 1.78 juta kes.

Sehingga kini masih belum ada tanda-tanda rusuhan yang berlaku di AS akan reda. Malah, tindakan polis anti rusuhan yang menggunakan kekerasan terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi dan petugas media yang merakamkan insiden berkenaan menimbulkan lebih banyak ketegangan.

Keadaan huru hara di AS berpunca daripada kemarahan orang awam terhadap kematian Flyod

Rusuhan yang berlaku bagi membantah kekejaman dan diskriminasi terhadap golongan kulit hitam bukan pertama kali berlaku. Pada 2014, keputusan juri yang tidak mendakwa anggota polis dalam kes kematian membabitkan remaja kulit hitam, Michael Brown telah mencetuskan rusuhan ganas di Ferguson, Missouri.

Malah, kes kematian Floyd turut dikatakan
hampir serupa dengan kes kematian seorang lelaki kulit hitam, Eric Garner di New York pada 2014 yang meninggal dunia setelah dicekik oleh seorang pegawai polis ketika tidak bersenjata.

Kisah golongan kulit hitam di AS umpama bom jangka di negara Uncle Sam itu. Sekali meletup pastu huru-hara seluruh negara.

Tapi kisah ‘bom jangka’ bukan hanya di AS malah di seluruh dunia termasuk di Malaysia juga wujud situasi sebegini.

Terbaharu, cerita mengenai pemandu mabuk yang bermaharajalela di jalan-jalan raya sehingga mengakibatkan nyawa tidak berdosa melayang pula menghiasi laporan berita setiap hari.

Cerita pemandu mabuk bukan kisah baharu, setiap tahun pasti ada nyawa melayang disebabkan mereka. Cuma kali ini keadaan seperti sudah tidak dapat dikawal lagi. Manakan tidak, jumlah kes pemandu mabuk yang baru memasuki pertengahan tahun 2020 sudah sama banyak dengan angka tahun lepas.

Dengan 21 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dengan lapan mangsa kehilangan nyawa menunjukkan betapa seriusnya isu ini.

Pelbagai saranan dan cadangan telah dikemukakan baik daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Untuk menunggu kerajaan meminda hukuman dan akta bagi pemandu mabuk, mahu tidak mahu perlu menunggu sehingga Dewan Rakyat bersidang dalam masa terdekat ini.

Tapi kebimbangan orang ramai ialah apa akan berlaku sementara menunggu hukuman ini dipinda? Berapa banyak nyawa lagi bakal melayang?

Itu belum lagi baca komen warga maya dalam laman sosial. Isu arak sudah bertukar menjadi isu perkauman dan sikit lagi bakal menjadi bom jangka jika tidak diuruskan dengan baik.

Jika kerajaan tidak mahu mengharamkan arak dari muka bumi Malaysia, satu tindakan tegas perlu dilakukan. Sebagai contoh jika berlaku kemalangan melibatkan pemandu mabuk, heret sekali peniaga atau pemunya premis yang menghidangkan air minum syaitan ini ke muka pengadilan.

Yang penting isu pemandu mabuk perlu dihapuskan terus. Jika tidak, jangan hairan kenapa ada rakyat Malaysia yang mengambil tindakan merusuh sama seperti yang berlaku di AS sekarang.

Meminjam kata yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, ‘mencegah adalah lebih baik daripada merawat’. Inilah yang terbaik perlu dilakukan iaitu mencegah orang meminum arak yang di dalamnya terlalu banyak keburukan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here