APMM kesan puluhan kali kapal Rohingya cuba masuk Malaysia

0
660

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal Rohingya sudah puluhan kali cuba untuk masuk ke perairan negara, namun gagal kerana dikesan penguat kuasanya.

Menurutnya, kapal yang membawa kira-kira 300 pelarian Rohingya itu dikesan berselindung di Pulau Koh Adang, Laut Andaman di selatan Thailand selepas gagal memasuki perairan negara ini.

“Kini mereka didapati berselindung di belakang Pulau Koh Adang dan dipercayai sedang menyusun strategi untuk masuk semula ke perairan negara.

“Sebanyak dua kapal yang membawa pelarian ini bergerak pada Februari lalu, namun salah satu kapal mengalami masalah enjin dan bocor di perairan Malaysia semalam (kelmarin),”  katanya seperti dipetik dalam Harian Metro.

Mohd Zubil berkata,  sindiket dari Myanmar akan berhubung dengan sindiket di Thailand untuk membekalkan makanan dan minyak untuk kapal berkenaan.

“Memang tidak ada kapal yang mampu bertahan selama empat bulan di laut kecuali dibekalkan dengan semua keperluan termasuk makanan, minyak dan keperluan lain.

“Ejen ini didapati mempunyai hubungan yang kuat dengan sindiket di Thailand dan Myanmar,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya percaya sindiket terbabit dalam memperdagangkan orang dan kos membawa masuk semua pelarian berkenaan di tanggung oleh ejen.

“Ejen akan menanggung kos sebelum semua pelarian ini mendapat pekerjaan dan akan mengambil wang hasil pekerjaan mereka sebagai timbal balas.

“Pemantauan, rondaan dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada individu yang terlepas masuk ke perairan negara,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan meminta Kementerian Luar berbincang dengan kerajaan Bangladesh.

” Kita akan hantar semula pelarian Rohingya ini ke Cox’s Bazar atau pulau Bashan Char di selatan negara itu.

“Jadi, kita minta mereka menerima pelarian Rohingya daripada Malaysia kerana mereka juga adalah ahli Konvensyen Mengenai Pelarian 1951,” katanya yang bertegas apabila negara tidak boleh terima lagi dan akan bincang untuk hantar balik Rohingya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here