Artis nasyid terjejas Covid-19 dilantik jadi bilal

0
176

CYBERJAYA – Artis nasyid yang hilang mata pencarian akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilantik sebagai Bilal Rawatib di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan menyediakan beberapa pelan khas untuk membantu golongan itu dan memanfaatkan kebolehan mereka.

“Artis nasyid yang hilang mata pencarian kerana bergantung sepenuh masa kepada bidang hiburan akan dilantik sebagai Bilal Rawatib bagi masjid dan surau dalam Wilayah Persekutuan.

“Anugerah Allah SWT kepada mereka wajar dimanfaatkan sebaiknya,” katanya dalam media sosial hari ini.

Zulkifli berkata, bagi pelan penyelesaian jangka masa pendek, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada pihak Nasyeed.Com untuk disalurkan kepada penggiat industri nasyid yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh PKPB.

“Saya tidak ada apa-apa kepentingan. Saya cuma nampak potensi yang amat besar pada mereka bagi turut sama menyumbang kepada dakwah, pendidikan dan keseimbangan psikospiritual masyarakat terutamanya dalam norma baharu yang sedang kita tempuhi bersama,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelan pembangunan semula industri nasyid tempatan, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan melibatkan TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Nasyeed.Com dan NGO Creative Dakwah Club.

“Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali diadakan.

“Kita akan memperkasakan nasyid menerusi industri muzik digital yang kian pesat kini,” tambahnya. ⁣

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here