
CYBERJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar menjadikan kes kematian pertama mangsa keracunan puding buih sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan.
Menurut seorang doktor perubatan yang dikenali sebagai Hana Hadzrami, pengambilan telur mentah sememangnya mengandungi khasiat yang tinggi, namun berisiko mengandungi bakteria Salmonella yang berbahaya.
“Walaupun risiko Salmonella dalam telur hanya 1 dalam 20,000 telur, namun hanya sebiji telur yang berkuman boleh merebakkan bakteria kepada telur lain dan makanan berdekatan.
“Kuman pada telur walau kebanyakannya berada pada kulit, namun boleh ada dalam isi telur juga.
“Jika anda pernah buat puding buih, anda akan dapati yang telurnya langsung tak dimasak. Putih telur mentah dipukul hingga berbusa membentuk meringue, dituang larutan agar-agar suam kedalamnya lalu disejukkan,” katanya dalam perkongsian dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.
Jelasnya, semakin lama telur yang mengandungi bakteria disimpan, paras kandungan bakterianya juga akan lebih tinggi.
“Kalau telur mentah itu mempunyai sedikit pun kuman, setelah bercampur dengan gula dalam suhu bilik, akan beranak-pinaklah bakteria itu dengan jayanya dalam agar-agar tersebut. Apa lagi jika agar-agar itu disimpan berhari-hari. Jadi kawah bakterialah ia.
“Ramai mungkin berkata ‘saya makan telur mentah setiap hari takde masalah pun atau saya dah makan puding buih selama ni ‘ok’ je.
“Memanglah risikonya rendah terutama telur segar. Namun jika andalah yang seorang dari 20,000 itu memang naya (terkena),” katanya.
Tambahnya, golongan yang berimuniti rendah seperti wanita mengandung, kanak-kanak, pesakit kronik dan pesakit kanser lebih terdedah dengan risiko bakteria Salmonella.
“Sebenarnya bukan puding buih saja yang bermasalah. Ada banyak lagi masakan menggunakan telur mentah contohnya pasta carbonara yang di masak secara ‘authentic’, sos hollandaise yang dimakan dengan poached egg, tamago gohan serta sesetengah krim pada kek.
“Jika anda seorang pembuat kek, pasti anda tahu Swiss Meringue Buttercream tidak sesuai dijadikan topping kek untuk ‘baby shower’ wanita mengandung. Ini kerana putih telurnya hanya di masak sebentar pada suhu tidak sampai 60 darjah celsius pun.
“Sedangkan suhu yang diperlukan untuk bunuh bakteria pada telur ialah 65 darjah celsius selama 30 minit atau 75 darjah celsius selama 15 saat,” katanya.