
CYBERJAYA – Pengasas Raudhah City, Mohd. Fadzil Hashim meluahkan kekecewaan apabila perjuangannya dalam mewujudkan perumahan Islamik cuba ditentang segelintir orang Islam sendiri.
Beliau mendakwa, permohonannya mendapatkan lesen ‘bunting’ Raudhah City tidak diluluskan salah seorang pegawai pihak berkuasa tempatan atas alasan elemen Islamik yang diguna pakai dalam pengiklanan itu tidak bersesuaian dengan masyarakat majmuk di negara ini.
“Bayangkan mahu dapatkan lesen untuk kita iklankan ‘bunting’ yang mana tertulis, ‘Di sini bermulanya kebangkitan ekonomi Islam’ dan mengetengahkan wanita yang menutup aurat itu tidak dibenarkan sebab kita negara berbilang bangsa takut ia akan mengguris hati kaum lain.
“Bila sebut ‘sin city’ okay, tapi kalau Raudhah City tak okay.
“Inilah yang berlaku apabila pejabat kerajaan berfikiran dan beranggapan bahawa agama ini adalah untuk duduk di masjid atau Mekah dan tidak boleh disesuaikan dalam kehidupan harian kerana ia akan menjadi sesuatu yang pelik pada mereka,” katanya ketika sesi siaran langsung dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Jelasnya, sekiranya Islam bangkit secara ekonomi, bukan hanya umat Islam sahaja menjadi kuat, malah bangsa dan penganut agama lain turut merasai kebaikannya.
“Selama 800 tahun Islam perintah dunia, tidak ada penindasan kepada orang bukan Islam tapi apabila Islam jatuh, kerajaan Uthmaniyah jatuh maka berlakulah penindasan demi penindasan bukan sahaja kepada orang Islam tapi kepada semua orang bukan Islam juga.
“Dalam situasi yang belaku ini, jika orang bukan Islam berkelakuan seperti itu, mungkin itu bukan sesuatu luar biasa, tapi orang Islam sendiri buat, ia amat pelik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak semua pihak berkelakuan seperti itu malah ada lebih prihatin memberikan sokongan dan bantuan dalam merealisasikan perjuangan membangunkan ekonomi Muslim di negara ini.
“Saya tidak ada masalah sama ada pegawai kerajaan atau sesiapa sahaja menentang perjuangan kami, itu terpulang sebab individu tersebut bukan mewakili kerajaan negeri itu sendiri.
“Sebab mana-mana perintah atau peraturan-peraturan kerajaan ia bergantung kepada orang yang mentafsirkan. Kalau dia tafsir tidak mahu bantu, jadi dia memang tidak akan bantu kita. Tapi kalau dia mahu bantu, yang susah pun dia boleh tolong.
“Contohnya ramai pegawai-pegawai di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), walaupun mengikut polisi mungkin kita telah melakukan banyak kesilapan tapi mereka membantu dan kita pun cuba ikut cara betul.
“Bagaimanapun saya tidak berniat nak dedahkan pihak berkuasa tempatan yang mana, sebab kita pun banyak iklankan di banyak kawasan pihak berkuasa tempatan lain.
“Apa pun kita doakan supaya Allah beri hidayah dan beri kesedaran kepada individu tersebut supaya tidak bertentangan dengan Allah,” jelasnya.
inilah orangnya yang menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara, dan pengkhianat seperti ini selalunya menjadi api dalam sekam.