Bubar DUN Johor jika kemelut politik berterusan -Sultan Johor

0
251
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya kemelut politik di negeri tersebut ditamatkan segera atau satu pilihan raya negeri (PRN) diadakan bagi memilih kerajaan baharu.

Baginda bertitah, jika kemelut politik itu terus berlaku baginda akan memberikan peluang kepada rakyat Johor untuk memilih wakil rakyat mereka yang baharu.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda dalam satu kenyataan dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan Parlimen akan datang yang dijangka bermula pada Julai dan gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

Dalam pada itu, baginda turut meluahkan perasaan kecewa terhadap kemelut politik yang berlaku di negeri itu.

“Saya berasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan. Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa,” titah baginda. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here