Buku Rebirth: KDN perlu tegas, gantung penerbitan

0
475

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar mengambil langkah tegas dengan menggantung penerbitan dan pengedaran buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” yang menghina Jata Negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penerbitan buku itu jelas menggambarkan betapa penulis seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara yang juga lambang kedaulatan negara.

“Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

“Tindakan tegas perlu diambil oleh KDN untuk mengelakkan daripada ia terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia,” katanya dalam laman Facebooknya.

Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.

Katanya, penerbitan buku berkenaan tular hari ini melalui perkongsian di pautan https://m.facebook.com/story.php (yang sudah pun dipadamkan).

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka depan.

Asyraf berkata, walaupun Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara, akta itu dilihat belum cukup menggerunkan sesetengah pihak.

“Nampaknya Akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 itu belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga ada yang sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here