Cef Mohd. Shahrul Nizam warisi bakat bapanya

0
1570

RAUDHAH CITY – Restoran Fine Dining Halal pertama di Malaysia, Casa De Madani, Malakat Mall di sini yang bakal memulakan operasinya tidak lama lagi dibarisi cef-cef professional dan berpengalaman.

Salah seorangnya Chef De Crusine Mohd. Shahrul Nizam Zulkifli dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Cef Kedua yang bakal mengendali dan beraksi di dapur Casa De Madani.

Berpengalaman selama lebih 17 tahun dalam bidang kulinari selain berkebolehan mengurus dan mengendalikan dapur dipelbagai hotel dan restoran terkemuka cukup melayakkan Mohd. Shahrul Nizam diberi amanah tersebut.

Menurut Mohd Shahrul Nizam, minat yang mendalam menerusi seni masakan dan kulinari mendorongnya menceburi dan membina kerjaya dalam bidang ini meskipun mempunyai kelulusan dalam Diploma Seni dan Rekaan.

Kecenderungan Mohd. Shahrul Nizam dalam dunia masakan dan kulinari diwarisi daripada bapanya yang juga seorang cef mendorong beliau menuruti jejak langkah bapanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini tidak kisah terpaksa bermula dari bawah kerana sedar untuk menjadi seorang Cef menuntut segenap pengalaman dan kemahiran di dapur.

Menceritakan mengenai pembabitannya dalam dunia kulinari, Mohd. Shahrul Nizam berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beliau mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma.

“Pada awalnya saya telah mememilih kursus kulinari namun telah dinasihatkan untuk menukar kursus lain yang lebih sesuai kerana mendapat keputusan yang cemerlang.

Saya akur dan meneruskan pengajian di UITM dalam kursus Diploma Seni Lukis dan Seni Reka, walaupun tidak begitu meminati bidang tersebut, ” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, hasrat untuk menjadi seorang Cef tetap membara dalam jiwa lantas beliau nekad mencari peluang untuk bekerja di hotel.

“Usai tamat pengajian saya terus bekerja sebagai pembantu dapur di beberapa buah hotel untuk menimba pengalaman sebelum mula belajar ilmu-ilmu masakan daripada ramai cef terkemuka antarabangsa termasuk dari Itali, Jepun dan Arab, ” katanya.

Jelasnya, untuk mendapatkan pengalaman dan peluang berharga itu, beliau seringkali bertukar tempat kerja di hotel dan restoran seluruh negara lebih-lebih lagi apabila terdapat Cef dari luar negara di sesebuah hotel kerana mahu belajar ilmu masakan daripada Cef berkenaan.

Menyorot kembali perjalanan kariernya, Mohd. Shahrul Nizam berkata, laluan untuk beliau sampai ke tahap ini bukan mudah dan menuntut banyak komitmen dan pengorbanan.

“Tugas di dapur hotel dan restoran menuntut masa dan komitmen yang tinggi. Waktu bekerja juga dalam sistem shift malah tiada cuti pada hujung minggu, cuti umum, apatah lagi pada hari perayaan.

“Namun atas semangat yang tinggi, semua itu bukan halangan,” katanya yang juga pernah menjadi cef peribadi keluarga Diraja Selangor.

Kegigihan dan komitmen itulah menjadikan beliau dinobat sebagai antara Malaysia Top Chef Modernist Western dan Asian Crusine tahun lepas.

Disenarai sebagai salah seorang Malaysia Top Chef Modernist Western dan Asian Crusine 2019

Selain itu Mohd. Shahrul Nizam juga pernah dipilih sebanyak dua kali mewakili Malaysia dalam Pertandingan Kulinari Antarabangsa yang berprestij dan merangkul beberapa pingat pertandingan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga sebelum ini banyak menyertai pertandingan masakan dalam negara dan mempunyai koleksi enam pingat emas, tujuh perak dan sembilan gangsa dalam pelbagai pertandingan kuliner yang disertainya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here