Che Nah sujud syukur terima lesen berniaga daripada menteri

0
220
Gambar media sosial

CYBERJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari  ini menyerahkan lesen perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada salah seorang penjaja,  Minah Awang atau lebih dikenali sebagai Che Nah yang berniaga di Jalan Medan Setia Bukit Damansara.

Dalam rakaman video ‘live’ menerusi akaun Facebook milik beliau hari ini mengundang sebak warga maya selepas melihat aksi Che Nah sujud syukur kerana penantiannya selama 35 tahun untuk mendapat lesen itu tercapai.

Sejurus menerima lesen, Che Nah secara spontan bersujud syukur sambil ditenangkan oleh menteri itu.

Dikenali juga sebagai Minah, dia berkata, sepanjang menjalankan perniagaannya dia beberapa kali berurusan dengan DBKL untuk memohon lesen penjaja.

“Sejak 35 tahun lalu, saya sering turun naik ke Pejabat DBKL untuk memohon lesen penjaja.

“Malah sudah lima orang Datuk Bandar silih berganti, namun alasan yang dinyatakan adalah permohonan lesen tersebut dibekukan,” katanya.

Che Nah yang berniaga nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak dan kuih-muih menyifatkan pemberian lesen perniagaan itu sebagai hadiah yang berharga selepas terpaksa menunggu dalam masa lama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar kerana mempermudahkan urusan permohonan lesen ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar Musa berkata, penyerahan lesen itu sebagai tanda simbolik untuk menggalakkan penjaja untuk terus berniaga.

“Kita bagi bukan pada Che Nah seorang, ramai lagi. Saya akan buat pengumuman nanti berapa tempat yang kita akan benarkan seperti yang saya katakan ada 103 lot di Berjaya Times Square,” katanya.

Sebelum ini, kisah itu pernah ditularkan oleh menteri itu mengenai seorang wanita warga emas yang berniaga tanpa lesen di tepi jalan.

Ciapan Twitter tersebut mendapat perhatian ramai kerana sikap toleransi Annuar Musa, yang tidak meminta wanita tersebut memberhentikan perniagaan malah meminta agar terus meneruskan jualan dan mendapatkan lesen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here